Peringkat-Peringkat Puasa Asyura’
SOALAN:
Apakah terdapat peringkat-peringkat puasa Asyura’ dan bilakah bermulanya puasa pada hari Asyura’ ini?
JAWAPAN:
Puasa Asyura’ merupakan berpuasa pada 10 Muharram dan ia termasuk di dalam kategori puasa-puasa sunat yang amat digalakkan. Ini kerana, fadhilat atau kelebihannya cukup besar iaitu diampunkan dosa setahun yang sebelum.
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata apabila ditanya berkaitan puasa pada hari Asyura’:
مَا عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمًا يَطْلُبُ فَضْلَهُ عَلَى الْأَيَّامِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ وَلَا شَهْرًا إِلَّا هَذَا الشَّهْرَ
“Aku tidak ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada satu hari dan mencari-cari kelebihan yang ada padanya daripada hari-hari yang lain melainkan pada hari ini (hari Asyura’) dan tidak juga pada satu bulan melainkan pada bulan ini (Ramadhan).” [Riwayat Muslim (1132)]
Imam Ibn Rejab al-Hanbali ada menyatakan di dalam kitabnya berkaitan keadaan atau peringkat puasa Asyura’. Puasa Asyura’ ini terbahagi pada empat peringkat atau keadaan:
1. Nabi SAW telah berpuasanya di Makkah tetapi Baginda SAW tidak memerintahkan para sahabat untuk berpuasa. Tambahan pula, orang Musyrikin Makkah turut berpuasa pada hari tersebut.
Daripada Aisyah R.anha, berkata:
كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ يَوْمًا تَصُومُهُ قُرَيْشٌ، فِي الجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ
“Adapun hari Asyura’ merupakan hari yang berpuasa padanya orang Quraisy ketika jahiliyyah dan Nabi SAW juga berpuasa padanya.” [Riwayat al-Bukhari (3831)]
2. Apabila Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’. Dengan itu, Baginda SAW mengarahkan para sahabat untuk berpuasa padanya.
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا، يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، أَنْجَى اللهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ، وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ، فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا، فَنَحْنُ نَصُومُهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Sesungguhnya Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’. Lalu Nabi SAW berkata kepada mereka: “Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya serta Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur. Disebabkan itu kami pun turut berpuasa.” Maka Nabi SAW bersabda: “Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa berbanding kamu. Dengan itu, Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” [Riwayat Muslim (1130)]
3. Ketika difardhukan berpuasa di bulan Ramadhan, maka Nabi SAW meninggalkan berpuasa pada hari Asyura’.
Daripada Ibn Umar R.anhuma berkata:
صَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تُرِكَ
“Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Nabi memerintahkan untuk berpuasa padanya. Apabila difadrhukan berpuasa di bulan Ramadhan, Baginda SAW tinggalkannya (tidak berpuasa pada hari Asyura’).” [Riwayat al-Bukhari (1892)]
Daripada Aisyah R.anha, berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ كَانَ مَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ
“Adapun Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari Asyura’. Apabila difardhukan berpuasa pada bulan Ramadhan, sesiapa yang ingin berpuasa maka dia berpuasa dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa maka dia berbuka (tidak berpuasa).” [Riwayat al-Bukhari (2001)]
4. Di akhir hayat Rasulullah SAW, Baginda SAW berazam untuk berpuasa dan Baginda juga berazam untuk berpuasa pada 9 Muharram. Akan tetapi, Baginda SAW tidak sempat melakukannya kerana Baginda SAW telah wafat.
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, maka aku akan berpuasa pada hari ke-9 (9 Muharram).” [Riwayat Muslim (1134)]
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
“Berpuasalah pada hari Asyura’ dan berselisihlah padanya dengan orang-orang Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” [Riwayat Ahmad (1134), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif]
Penutup
Kesimpulannya, terdapat empat peringkat berkaitan puasa Asyura’ ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali bahawa Nabi SAW telah berpuasa padanya ketika Baginda SAW masih berada di Makkah lagi. Selain itu, fadhilat yang sahih berkaitan puasa pada hari Asyura’ ini adalah akan diampunkan dosa setahun yang sebelum.
Daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Dan berpuasa pada hari Asyura’ sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.” [Riwayat Muslim (1162)]
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk berpuasa di dalam bulan yang mulia ini serta menerima setiap amal soleh yang dilakukan. Amin. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?