Memberi Salam Kepada Yang Dikenali Sahaja Tanda Kiamat?
SOALAN:
Apakah memberi salam kepada yang dikenali sahaja termasuk di dalam tanda-tanda Kiamat?
JAWAPAN:
Memberi salam sesama Islam merupakan punca dan sebab timbulnya kasih sayang dan ia merupakan sejuzuk daripada tanda kesempurnaan iman yang akhirnya melayakkan kita masuk ke dalam syurga Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ
“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.” [Riwayat Muslim (81)]
Para ulama' mengatakan hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkan (سنة مستحبة) dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW walaupun di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi SAW untuk kita menyebarkan dan mengucapkan salam, namun perintah tersebut bukanlah bersifat wajib. Inilah pendapat yang masyhur dalam kalangan para ulama'.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith di dalam Musnad Imam Ahmad menceritakan berkaitan hal tersebut iaitu:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُسَلِّمَ الرَّجُلُ عَلَى الرَّجُلِ، لَا يُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا لِلْمَعْرِفَةِ
“Di antara tanda-tanda Kiamat adalah apabila seseorang itu memberi salam ke atas seseorang yang lain dan tidak diberikan salam ke atas seseorang itu melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja.” [Riwayat Ahmad (3848), Syeikh Syua’ai al-Arna’outh menilai hadith ini adalah hasan]
Daripada Ibn Mas’ud RA berkata, aku mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَمُرَّ الرَّجُلُ فِي الْمَسْجِدِ لَا يُصَلِّي فِيهِ رَكْعَتَيْنِ، وَأَنْ لَا يُسَلِّمَ الرَّجُلُ إِلَّا عَلَى مَنْ يَعْرِفُ
“Di antara tanda-tanda Kiamat adalah apabila seseorang itu melalui satu masjid tetapi dia tidak solat padanya walaupun dua rakaat dan tidak memberi salam ke atas seseorang yang lain melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja.” [Riwayat Ibn Khuzaimah (1326)]
Hadith ini menunjukkan pensyariatan memberi Islam kepada orang yang tidak dikenali bagi membuka perbualan dalam bersosial untuk menjadikan kesemua orang beriman itu bersaudara dan bukannya menjauhkan diri di antara satu sama lain. [Lihat: Fath al-Bari, 11/21]
Justeru, perkara ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW agar kita memberikan salam bukan sahaja kepada orang yang kita kenal, bahkan kepada orang yang kita tidak kenali.
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda apabila ditanya berkaitan Islam apakah yang terbaik:
تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى مَنْ لَمْ تَعْرِفْ
“Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.” [Riwayat al-Bukhari (6236)]
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan memberi salam hanya kepada yang dikenali sahaja termasuk di dalam tanda-tanda Kiamat adalah sahih. Selain itu, budaya memberi salam di dalam masyarakat Islam pada hari ini sudah mula hilang sedangkan ia merupakan satu sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah SAW kerana ia mampu untuk menyatukan perpaduan umat Islam. Tambahan pula, mengucapkan salam tidak memerlukan belanja atau tenaga yang banyak kerana ia hanya cukup dengan melafazkannya di bibir dengan disertakan hati yang ikhlas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada fitnah akhir zaman. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?