Adakah Hibah Memerlukan Persetujuan Ahli Waris Yang Lain?
SOALAN:
Saya nak Tanya berkenaan hukum hibah. Mak saya dah hibahkan tanah kepada salah seorang cucunya tanpa pengetahuan kami sekeluarga, ada antara kami yang tak bersetuju. Apakah hukumnya?
JAWAPAN:
Hibah merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk digunakan manfaatnya kepada penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan.
Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/175)
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gentian (iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)
Pensyariatan dan Hukum Hibah
Terdapat dalil al-Quran, Sunnah serta ijma’ dalam galakan berhibah bagi membantu dan mengeratkan lagi tali silaturrahim.
Firman Allah SWT:
فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa: 4)
Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)
Ijma’ para fuqaha’ bahawa sebarang bentuk hibah adalah disunatkan. Namun ia akan berubah menjadi haram sekiranya tujuan hibah itu kerana kemaksiatan atau membantu kezaliman serta bertujuan untuk rasuah. Begitu juga, hibah akan menjadi makruh sekiranya bertujuan untuk riak dan sombong. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)
Rukun dan Syarat Hibah
Hibah dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukunnya. Syeikh Muhammad Zuhaili membahagikan rukun hibah tiga secara umum dan lima secara terperinci iaitu:
1. Dua pihak yang berakad, iaitu pemberi dan penerima.
- Para fuqaha’ dalam mensyaratkan pemberi hibah mestilah orang yang mukallaf, berakal, baligh serta layak untuk menyumbang.
- Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak layak untuk melakukan hibah.
- Harta atau barang yang hendak dihibahkan itu mestilah milik sepenuhnya daripada diri pemberi.
- Selain itu, disyaratkan kepada penerima hibah mestilah orang yang mukallaf. Namun sekiranya tidak mukallaf pihak wali boleh menerimanya.
2. Akad Sighah
- Disyaratkan untuk melakukan hibah mestilah ada ijab dan qabul dengan lafaz sama ada secara jelas (sorih) atau kiasan (kinayah). Maka sah akad perjanjian secara kinayah seperti akad perjanjian bertulis.
- Lafaz ijab dan qabul itu mestilah berkesinambungan dan tidak terputus seperti akad jual beli.
3. Barang yang hendak dihibah
- Syarat barang untuk dihibah adalah setiap barang yang harus dijual beli. Ini kerana tujuan hibah adalah penukaran hak milik.
- Barang yang hendak dihibah mestilah wujud. Oleh itu, tidak sah menghibahkan anak kambing yang berada di dalam kandungan.
- Barangan itu mestilah bernilai dan memberi manfaat. Tidak sah sekiranya menghibah barang yang tidak bernilai di sisi syara’ seperti arak dan khinzir.
- Pemberi mesti memiliki barang yang hendak dihibahkan.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 3/178, al-Fiqh al-Manhaji, 6/120)
Al-Qabd (Penerimaan Hibah)
Apabila sempurna akad hibah ijab dan qabul, akan tetapi belum menerima hibah tersebut maka ia masih lagi belum berpindah hak milik. Oleh itu, pemberi boleh menarik balik hibah tersebut selagi mana hibah tersebut tidak sampai ke tangan penerima.
Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan: “Tidak dikira sebagai hak milik penerima selagi mana belum menerima hibah (qabd). Oleh itu, pemberi boleh menarik semula pemberiannya.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’, 3/182)
Ini seperti hadis riwayat al-Hakim dengan sanad yang sahih menurutnya:
لَمَّا تزَوَّجَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أُمُّ سَلَمَةِ قَالَ لَهَا: إِنِّي أَهْدَيْتُ إِلِى النَّجَاشِي أَوَاقاً مِنْ مِسْكٍ، وَحُلَّةٌ، وَإِنِّي لاَ أَرَاهُ إِلاَّ قَدْ مَاتَ، وَلاَ أَرَى الَهِدِّيَةَ الَتِّي أَهْدَيْتُ إِلَيْهِ، إِلاَّ سَتَرُدُّ، فَإِذَا رُدَّتْ إِلَيَّ فَهُوَ لَكِ أَمْ لَكُمْ؟ فَكَانَ كَمَا قَالَ هَلَكَ النَّجَاشِي، فَلَمَّا رُدَّتْ إِلَيْهِ الهَدِيَّةُ، أَعْطَى كُلُّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أَوْقِيَّةِ مِنْ ذَلِكَ المِسْكِ، وَأَعْطَى سَائِرَهُ أُمُّ سَلَمَةِ وَأَعْطَاهَا الحُلَّة
“Ketika Rasulullah SAW mengahwini Ummu Salamah R.Anha, Baginda bersabda kepadanya: “Aku hadiahkan kepada Najashi beberapa auns minyak kasturi dan perhiasan tetapi aku merasakan dia telah meninggal dunia. Aku juga merasakan hadiah yang aku berikan kepadanya ini akan dipulangkan. Apabila hadiah itu dipulangkan kepada aku, ia akan menjadi hak engkau atau hak kamu semua.” Seperti mana yang dikatakan tentang kematian Najashi, apabila dikembalikan hadiah itu, maka dihadiahkan kepada semua isteri-isteri baginda SAW minyak wangi itu, dan diberikan baki selebihnya kepada Ummu Salamah, kemudian dia menerima selebihnya daripada perhiasan.” [Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/188)]
Oleh itu, sekiranya akad hibah berkuatkuasa sebelum penerimaannya, maka Nabi SAW tidak akan bersetuju untuk menerimanya semula. Dan Baginda SAW akan menyerahkan kepada waris Najashi kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pusaka. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/126)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan di atas, sekiranya cukup syarat dan rukun serta bukti dokumentasi pemberiannya, maka sah pemberian hibah tersebut semasa hidupnya. Pemberi hibah juga tidak memerlukan persetujuan orang lain untuk menghibahkannya. Ini kerana syarat pemberi dan penerima hibah tidak memerlukan kepadanya. Dan barang yang telah dihibahkan, tidak boleh ditarik balik semula.
Selain itu, hibah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam Islam. Malah, ia juga digalakkan untuk memberi kepada saudara-mara dan kerabat yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Firman Allah SWT:
وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ
“Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, -kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.” (Surah al-Baqarah: 177)
Hadis Nabi SAW:
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
“Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.” [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ secara mursal (2/908)]
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin. Amin. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?