Kesesatan Syiah: “Ya Husain, Ya Husain, Ya Husain!”
Kita baru sahaja selesai menyambut kehadiran Zulhijjah dengan peristiwa-peristiwa agung yang berlaku di dalamnya. Kini kita berada dalam bulan Muharram, bulan yang disepakati oleh umat Islam sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijri atau Qamari. Dalam bulan ini saban tahun kita mengadakan sambutan Maal Hijrah sebagai memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat Radhiallahu Anhum. Dalam bulan ini juga kita menyambut hari Asyura (عاشوراء) dan Tasu’a (تاسوعاء) dengan berpuasa pada hari-hari tersebut sebagai mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW, ini adalah bertujuan untuk memperingati peristiwa yang belaku kepada para Nabi sebelumnya. Demikianlah umat Islam terus istiqamah menyanjung dan menjulang Syariat Muhammadiyyah sebagai agama yang suci murni. Namun di celah-celah keghairahan ini terdapat perbuatan dan amalan yang menjatuhkan imej kemurnian Islam itu sendiri. Perbuatan tersebut ialah sambutan Hari Karbala yang dilakukan oleh ekstrimis Syiah di beberapa buah negara.
Hari Karbala yang disambut oleh pengikut Syiah pada 10 Muharram ialah hari bersedih memperingati peristiwa pembunuhan kejam terhadap Sayyidina Husain Radhiallahu Anhu cucunda baginda Nabi SAW. Hari tersebut disambut oleh penganut-penganut Syiah dengan berbagai acara seperti ceramah, nyanyian dan perarakan untuk melahirkan kesedihan terhadap peristiwa tragis tersebut. Apa yang jelek dan melucukan ialah perbuatan menampar dan memukul dada sambil berteriak menyebut “Ya Husain, Ya Husain, Ya Husain!” Malah lebih meloyakan lagi ialah perarakan yang bermandikan darah dengan menikam perut, memahat dan melukakan kepala serta belakang badan dengan benda tajam. Sesungguhnya perbuatan tersebut amat jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar, malah mirip kepada perbuatan penganut-penganut agama Majusi dan penyembah berhala.
Jika difikirkan dengan secara mendalam, kenapa mereka hanya bersedih dengan pembunuhan Husain sahaja? Kenapa tidak dengan Sayyidina Hamzah, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali? Sedangkan kematian mereka juga adalah kematian yang amat menyedihkan, mereka adalah sahabat Nabi Radhiallahu Anhum yang telah bertungkus lumus bersama Rasulullah meletak batu asas pembinaan Islam di peringkat awal. Sebaliknya golongan Syiah amat gembira dengan kematian Sayyidina Umar Radhiallahu Anhu dan berterima kasih kepada Abu Lu’lu’ah, orang yang menikam perut Umar ketika sedang solat. Bahkan kubur Abu Lu’lu’ah pun dibina dengan gah sekali seolah-olah kubur seorang pahlawan yang berjasa.
Sesungguhnya amalan sesat yang mereka amalkan itu bukan sekadar amalan, tetapi ianya dilakukan berdasarkan aqidah dan pegangan mereka yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Betapa tidak, ini kerana mereka memang berakidah bahawa Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah adalah dianggap sebagai berhala Quraisy yang merampas jawatan Khalifah dari tangan Sayyidina Ali Radhiallahu Anhu. Bahkan mereka berpegang kepada kepercayaan bahawa para sahabat Nabi semuanya menjadi murtad selepas kewafatan Baginda Nabi SAW kecuali Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Zar Al Gifari dan Salman Al Faris, wal‘iyazubillah! Tidak syak lagi bahawa kepercayaan tersebut adalah kepercayaaan karut yang langsung tidak boleh diterima oleh akal. Sedarkah mereka siapa sebenarnya orang yang mereka murtadkan itu? Bukankah mereka adalah sahabat-sahabat Nabi yang dipuji oleh Allah dalam al-Quran:
“Dan orang-orang yang terdahulu -yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah: 100)
Dan ketahuilah juga bahawa sebahagian daripada para sahabat yang dimurtadkan itu adalah para sahabat yang telah diisytiharkan oleh Nabi sebagai sebahagian dari penghuni syurga, pengakuan ini jelas melalui sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman Bin Auf:
Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Abu Bakar penghuni Syurga, Umar penghuni syurga, Ali penghuni syurga, Uthman penghuni syurga, Talhah penghuni Syurga, Zubair penghuni syurga, Abd Rahman bin Auf penghuni syurga, Sa’ad Bin Abi Waqqas penghuni syurga, Sa’id ibnu Nufail dan Abu Ubaidah ibnu Al-Jarrah penghuni syurga, Radhiallahu Anhum.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Sebenarnya kesesatan Syiah ini bukan setakat perkara tersebut itu sahaja malah ada beberapa kesesatan yang lebih dahsyat dan tidak boleh dikompromi dengan Islam, kesesatan-kesesatan tersebut antara lain adalah:
1. Mengkafirkan Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah bintu Abu Bakar dan isteri-isteri Rasulullah yang lain. Aisyah dikatakan sebagai ketua penduduk neraka, wal‘iyazubillah!
2. Menurut Syiah, al-Quran yang ada di sisi kita (Ahli Sunnah) pada hari ini sebenarnya palsu dan telah diselewengkan manakala al-Quran yang benar adalah di sisi mereka yang dikenali sebagai “Mushaf Fatimah”, di mana kandungannya tiga kali ganda daripada al-Quran kita.
Sebenarnya Umat Islam di negara ini melalui Majlis Agama Negeri-negeri sangat peka terhadap perkembangan kepercayaan dan anutan sesat dan menyeleweng ini. Fatwa mengenai Syiah telah dikeluarkan dan diwartakan di Selangor pada tahun 1989 dan 2013. Justeru, umat Islam tidak ada alasan untuk terpengaruh kepada ajaran syiah yang memerangkap mangsanya melalui pelbagai cara termasuk di institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, syarikat-syarikat umrah, pusat-pusat tuisyen, kelas-kelas bimbingan al-Quran, buku kanak-kanak, novel, komik dan lain-lain lagi. Justeru, khatib menyeru agar seluruh umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada terhadap penyebaran fahaman Syiah di negara ini agar seluruh ahli keluarga kita terselamat daripada kesesatan dan azab neraka Allah SWT.
Firman Allah SWT:
Dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Segala puji tertentu bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung), Dia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya supaya kamu dapat mengetahui-Nya (dengan jelas nyata); dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu lakukan.” (al-Naml: 93)
Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?