Ibu & Anak Susuan: Apakah Kesan Kepada Pembahagian Harta Pusaka?
SOALAN:
Saya seorang ibu yang menyusukan anak dan bekerja sebagai seorang doktor. Jadi sejak dalam pantang lagi saya telah mula membuat stok susu simpanan di dalam peti sejuk beku. Saya bercadang untuk berikan kepada seorang bayi yang memerlukan susu badan dari kalangan anak kawan terdekat saya. Apakah hukum mengambil anak susuan? Apakah memberi kesan kepada nasab dan pembahagian harta dan sebagainya yang berkaitan?
JAWAPAN:
Pengertian dan Hukum Penyusuan (al-Rada’)
Al-Rada’ (Penyusuan): “Perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu.” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)
Mengikut pengarang Fiqh al-Manhaji Penyusuan merupakan pengaliran susu seorang perempuan yang masuk ke dalam perut bayi. (Lihat: al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)
Hukum Penyusuan
Para Fuqaha’ bersepakat penyusuan bayi adalah perkara yang diwajibkan selagi mana ia berhajat kepadanya dan ketika berada di dalam jangka masa umur susuan (dua tahun). (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)
Firman Allah SWT:
وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
“Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” (Surah al-Talaq, 6)
Selain itu, terdapat pendapat sebahagian ulama’ kotemporari menyatakan makruh sekiranya menyusukan bayi yang bukan anaknya tanpa hajat atau keperluan yang mendesak. Ini seperti yang didatangkan di dalam Fiqh al-Manhaji: “Ulama’ fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/212)
Dari segi syarak seorang perempuan itu dibenarkan untuk menyusukan bayi yang bukan anaknya. Oleh itu, bagi seorang isteri seharusnya meminta kebenaran suaminya dan ayah kepada bayi tersebut untuk menyusukannya.
Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: “Sekiranya seorang perempuan itu menyusukan bayi yang bukan anaknya mestilah mendapat kebenaran suaminya.” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/157)
Kesan Terhadap Penyusuan
Anak susuan akan menjadi mahram (tidak boleh dikahwini) sekiranya syarat-syarat penyusuan itu dipenuhi di antaranya ialah anak susuan itu belum mencapai usia dua tahun dan anak susuan itu mestilah kenyang sebanyak lima kali secara berasingan. Oleh sebab itu, kesan terhadap hubungan anak susuan dengan ibu susuan dan suaminya tertakluk kepada dua hukum asas iaitu:
- Diharamkan berkahwin di antara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya).
- Dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama.
(Lihat: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)
Selain itu, penyusuan tidak memberi kesan yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab yang selain daripada di atas seperti yang dinyatakan di dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah: “Adapun hal berkenaan dengan hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta pusaka, nafkah, memerdekakan hamba, gugur hukum qisas dan lain-lain tidak sabit dalam hukum penyusuan. Dan ia merupakan sepakat para fuqaha’.” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/241)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada persoalan dan dalil yang diberikan, pada asalnya hukum memberi susuan kepada bayi yang bukan anaknya sendiri adalah diharuskan. Namun semestinya bagi seorang isteri itu berbincang dengan suaminya.
Berkenaan dengan kesan anak susuan kepada nasab hanya berkaitan dengan dua hukum asas iaitu diharamkan berkahwin di antara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya) dan dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama.
Oleh itu, dengan penyusuan tidak memberi kesan kepada hal berkenaan hukum-hakam nasab yang lain seperti pembahagian harta pusaka, nafkah dan lain-lain. Ini seperti mana yang dinyatakan Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: “Tidak disabitkan ke atas hukum nasab kepada anak susuan seperti hukum pembahagian harta pusaka, nafkah, wali, hak penjagaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab dan ia tidak termasuk di dalam hukum hakam penyusuan.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/327)
Selain itu, sebaiknya merekodkan bilangan penyusuan serta syarat-syaratnya sebagai insiatif bagi mengelak berlakunya percampuran nasab dan keturunan.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya seterusnya mengamalkannya dengan sebaik mungkin mengikut neraca Syariah. Amiin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?