Hadith Pengkhianatan Hawa
SOALAN:
Apakah status hadith ini? Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلاَ حَوَّاءُ لَمْ تَخُنَّ أُنْثَى زَوْجَهَا
“Kalaulah bukan kerana Hawa, maka para wanita tidak akan mengkhianati suaminya.”
JAWAPAN:
Berdasarkan soalan di atas, hadith tersebut merupakan hadith yang sahih kerana ia diriwayatkan oleh syaikhain iaitu Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam sahih mereka:
1. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَلَوْلاَ حَوَّاءُ لَمْ تَخُنَّ أُنْثَى زَوْجَهَا
“Kalaulah bukan kerana Hawa, maka para wanita tidak akan mengkhianati suaminya.” [Riwayat al-Bukhari (3330)]
2. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَوْلَا حَوَّاءُ، لَمْ تَخُنْ أُنْثَى زَوْجَهَا الدَّهْرَ
“Kalaulah bukan kerana Hawa, maka para wanita tidak akan sesekali mengkhianati suaminya.” [Riwayat Muslim (1470)]
Imam Badr al-Din al-‘Aini menyatakan di dalam kitabnya berkaitan pengkhianatan Hawa itu adalah apabila beliau memujuk Adam AS untuk memakan buah di salah satu pohon (di dalam Syurga). [Lihat: Umdah al-Qari, 15/211]
Adapun al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan maksud pengkhianatan di dalam hadith ini ialah dia (Hawa) telah menerima pujukan Iblis lalu dia memujuk Adam AS pula. Oleh sebab itu, Hawa merupakan ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanita pun yang terselamat dari menderhakai kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau perbuatan. Tambahan pula, bukanlah maksud khianat di sini (bahawa Hawa) telah melakukan satu dosa yang besar, jauh sekali tidak. Akan tetapi, ia adalah apabila Hawa menurut nafsu untuk memakan daripada pohon tersebut dan memujuk pula Adam AS itu yang dikira telah mengkhianatinya (Adam AS). [Lihat: Fath al-Bari, 6/368]
Di samping itu juga, di dalam al-Quran ada disebutkan kisah ini. Firman Allah SWT:
فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi Malaikat atau menjadi daripada orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).” (Al-A’raf: 20)
Dalam memahami isu ini, hadith tersebut bukanlah menunjukkan bahawa Hawa itu seorang isteri yang tidak baik kerana telah mengkhianati Adam AS, bahkan maksud pengkhianatan di sini adalah disebabkan Hawa tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam menasihati Adam AS agar tidak mendekati atau memakan daripada pohon tersebut. Hal ini telah disebutkan oleh:
Imam Ibn al-Jauzi (597H) berkata di dalam kitabnya:
وَأما خِيَانَة حَوَّاء زَوجهَا فَإِنَّهَا كَانَت فِي تَرْكِ النَّصِيحَة فِي أَمْرِ الشَّجَرَة لَا فِي غير ذَلِك
“Adapun pengkhianatan Hawa kepada suaminya adalah disebabkan dia (Hawa) telah meninggalkan nasihat berkaitan pohon tersebut dan tidak perkara yang lain.” [Lihat: Kasyf al-Musykil, 3/504]
Begitu juga, Imam Ibn al-Athir (606H) berkata di dalam kitabnya:
خِيَانَة حَوَّاء آدَم: هي تركُ النَّصِيحَة له فِي أَمْرِ الشَّجَرَة لَا فِي غير ذَلِك
“Pengkhianatan Hawa kepada Adam adalah disebabkan dia (Hawa) telah meninggalkan nasihat kepadanya (Adam AS) yang melibatkan pohon tersebut dan tidak pada perkara yang lain.” [Lihat: Jami’ al-Usul, 10/325]
Tambahan pula, hadith ini boleh difahami juga dengan hadith berkaitan penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Adam AS yang bengkok. Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith berkaitan penciptaan Hawa adalah dianjurkan (bagi kaum lelaki atau suami) agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak ingin membetulkannya (isteri). [Lihat: al-Minhaj, 10:57]
Di samping itu juga, perkara ini juga boleh dijawab dengan firman Allah SWT yang membuktikan bahawa Syaitan bukan sahaja memujuk Hawa tetapi juga Adam AS. Untuk kesalahan itu bukanlah berpunca daripada Hawa semata-mata tetapi juga daripada Adam AS.
Firman Allah SWT:
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَ
“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kamu akan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (Taha: 20)
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan hadith di atas bukanlah menyatakan bahawa Hawa telah mengkhianati Adam AS tetapi ia adalah disebabkan Hawa tidak menasihati Adam AS dalam perkara tersebut apabila digoda oleh Syaitan. Di samping itu juga, ini menunjukkan kepentingan peranan suami atau isteri dalam menjalani kehidupan.
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat dan memberi kita kefahaman di dalam agama serta menganugerahkan kepada kita isteri-isteri yang solehah dan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?