Kanak-kanak Solat Di Saf Hadapan - OHGEEKZ

OM Leaderboard Ad

Kanak-kanak Solat Di Saf Hadapan


SOALAN:
Ketika solat didirikan ada beberapa kanak-kanak yang datang awal mereka berdiri dalam saf hadapan bersama orang dewasa. Dan jika datang orang dewasa kemudian itu bolehkah dikeluarkan kanak-kanak yang sudah sembahyang pada saf hadapan dan masuk orang dewasa yang datang kemudian itu pada saf hadapan?

JAWAPAN:
Apabila kanak-kanak berdiri di saf hadapan pada sebelah kanan atau sebelah kiri dan bukan berdiri dibelakang imam maka tidak harus dialih mereka itu ke belakang.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini:

لو سبق الصبيان بالحضور لم يؤخروا للرجال اللاحقين كما لو سبقوا إلى الصف الأول فإنهم أحق به على الصحيح، وإنما تؤخر الصبيان على الرجال - كما قال الأذرعي - إذا لم يسعهم صف الرجال وإلا كمل بهم" انتهى
“Jikalau kanak-kanak hadir dahulu maka tidak dikebelakangkan kanak-kanak itu untuk orang lelaki dewasa sebagaimana jikalau berlumba mereka kepada saf yang awal maka sungguhnya kanak-kanak itu berhak dengannya atas qaul yang sahih.

Hanyalah dikebelakangkan kanak-kanak atas lelaki dewasa sebagaimana kata Imam Al-Azra'i apabila tidak muat mereka itu oleh saf lelaki dewasa dan jika tidak maka disempurnakan saf dengan kanak-kanak tersebut.” (Kitab Mughni Muhtaj)

Menyebut oleh Al-Hafiz Syeikh Zakaria Al-Ansari:

ولا يحول صبيان حضروا أولاً لرجال حضروا ثانياً؛ لأنهم من جنسهم" انتهى.
“Dan tidak dialihkan kanak-kanak yang hadir awal bagi lelaki dewasa yang hadir kemudian kerana kanak-kanak itu termasuk jenis lelaki.” (Kitab Asnal Matholib)

Tersebut pada Lajnah Fatwa Negeri Oman:

إذا كان الصبي في الصف الأول عن يمين الصف أو يساره، ولم يقف خلف الإمام مباشرة، فلا يجوز لأحد تنحيته؛ إذ كل من سبق إلى مكان من أماكن العبادة فهو أحق به
يجوز تنحية الصبي إن كان خلف الإمام مباشرة؛ لأن في ذلك مصلحة للصلاة.
“Apabila adalah kanak-kanak berada pada saf yang awal sebelah kanan atau kiri imam dan bukan berdiri betul-betul di belakang imam maka tidak harus bagi siapa pun menyingkirkannya kerana siapa dahulu sampai ke tempat ibadat maka dia yang berhak dengannya.

Dan harus menyingkirkan kanak-kanak itu jika adalah ia berdiri betul-betul di belakang imam dari kerana pada yang demikian itu ada maslahat bagi sembahyang.”

Sebab kanak-kanak tidak diletakkan betul-betul dibelakang imam ialah kerana apabila berlaku kesilapan imam atau imam terbatal maka memerlukan seorang yang mahir untuk menegur atau menggantikan imam tersebut.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media



Oh! Makan

Dikuasakan oleh Blogger.