Hari Manusia Melihat Wajah Allah, Rabb Yang Disembah
Siapa yang tidak mahu melihat Zat Allah? Dialah Tuhan yang telah mencipta Adam dari tanah serta keturunannya, Tuhan yang disembah oleh manusia yang beriman, Tuhan yang telah menetapkan segala Qada’ dan Qadar, Tuhan yang memiliki Arasy, Tuhan yang membalas segala amalan makhluk-Nya. Semua makhluk berharap dapat melihat Rabb mereka dengan mata kepala sendiri.
Ingatlah peristiwa yang dirakamkan dalam Al-Quran:
Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu) supaya aku dapat melihat-Mu.” Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku.” Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).” (Al-A’raaf, 7:143)
Dari sini dapat diketahui bahawa amat mustahil untuk melihat wajah Allah di dunia ini.
Ia disokong dengan hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda pernah bersabda:
“Kalian tidak akan boleh melihat Allah kecuali setelah kalian meninggal.” (Sunan Ibnu Majah, no. 4067)
Mari kita lihat beberapa hadith lain yang menceritakan adakah makhluk dapat memandang wajah Allah ketika hidup di dunia?
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Hijab-Nya (Allah) adalah cahaya (riwayat lain mengatakan api). Andaikata Dia menyingkapkannya, pasti keagungan wajah-Nya akan membakar makhluk yang dipandang oleh-Nya.” (Sahih Muslim, no. 263, Sunan Ibnu Majah, no. 191, Musnad Ahmad, no. 18806)
Dari Abu Dzar, dia berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah kamu melihat Rabbmu?” Baginda menjawab: “Hanya cahaya, bagaimana mungkin aku boleh melihat-Nya?” (Sahih Muslim, no. 261)
Dari Abdullah bin Syaqiq, dia berkata kepada Abu Dzar:
“Kalau seandainya aku melihat Rasulullah, nescaya aku menanyakan hal itu kepadanya.” Abu Dzar berkata: “Tentang apa yang akan kamu tanyakan?” Aku menjawab: “Aku akan bertanya: ‘Apakah tuan melihat Rabbmu?’ Abu Dzar berkata: “Aku telah menanyakan itu, baginda menjawab: ‘Aku hanya melihat cahaya’.” (Sahih Muslim, no. 262, Sunan At-Tirmidzi, no. 3204, hasan, Musnad Ahmad, no. 20351)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Aku pernah bertanya kepada malaikat Jibril, pernahkah engkau melihat Tuhanmu wahai Jibril?” Jibril ‘alaihissalam menjawab: “Di antara aku dan Allah ada tujuh puluh lapis hijab yang terdiri daripada cahaya. Bila terbuka sahaja lapisan hijab yang paling luar, aku pasti terbakar.” (Riwayat At-Thabrani)
Jadi bilakah makhluk dapat melihat wajah Rabb mereka? Hadith berikut bakal menjawabnya sekaligus menjadikan kita semua berharap supaya dapat mati dalam keadaan husnul khotimah lalu dimasukkan ke syurga dan dapat melihat Allah Taala.
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tidak ada yang menghalangi ahli syurga untuk memandang Rabb mereka selain hijab keagungan pada wajah-Nya di Syurga Adn.”
(Sahih Bukhari, no. 4500, Sahih Muslim, no. 265, Sunan At-Tirmidzi, no. 2451, hasan sahih, Sunan Ibnu Majah, no. 182)
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bila penduduk syurga telah masuk ke syurga, maka Allah berfirman: ‘Apakah kalian ingin sesuatu yang perlu Aku tambahkan kepada kalian?’ Mereka menjawab: ‘Bukankah Engkau telah membuat wajah-wajah kami putih? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka?’ Lalu Allah membukakan hijab pembatas, lalu tidak ada satu pun yang dianugerahkan kepada mereka yang lebih dicintai daripada anugerah (dapat) memandang Rabb mereka. Kemudian baginda membaca Firman Allah: ‘Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya (Yunus: 26)’.” (Sahih Muslim, no. 266, Sunan At-Tirmidzi, no. 2475, Sunan Ibnu Majah, no. 183)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tatkala penduduk syurga berada dalam kesenangan mereka, tiba-tiba bersinar seberkas cahaya, mereka mendongakkan kepala mereka, ternyata Rabb mereka telah menampakkan diri ke atas mereka, lalu berfirman: “Kesejahteraan tercurah kepada kalian wahai penduduk syurga.” Baginda bersabda: “Itulah firman Allah: ‘Salam, sebagai ucapan selamat dari Rabb Yang Maha Penyayang’. Allah melihat mereka dan mereka melihat-Nya, mereka tidak berpaling kerana merasa nikmat selama melihat kepada-Nya, hal itu terus berlangsung hingga Allah menghilang dari mereka. Sementara cahaya dan barakah-Nya masih membekas kepada mereka dan di tempat tinggal mereka.” (Sunan Ibnu Majah, no. 180)
Wallahua’lam.
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?