Doa Ketika Membaca Ayat Al-Quran Berkaitan Rahmat, Azab, Tasbih Dan Lain-Lain
SOALAN:
Saya ingin bertanya, apakah doa yang dibaca ketika membaca ayat-ayat al-Quran berkaitan rahmat dan juga ayat-ayat al-Quran berkaitan azab?
JAWAPAN:
Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayatnya menceritakan tentang rahmat Allah SWT dan juga yang menceritakan tentang azab-Nya. Apabila seseorang membaca ayat al-Quran berkaitan rahmat dan azab, maka disunatkan untuk dia membaca doa memohon rahmat kepada Allah SWT dan meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada azab yang dibacanya tersebut.
Bahkan, begitu juga ayat-ayat yang lain, seperti jika sekiranya ayat tersebut menyuruhnya untuk bertasbih dan beristighfar, hendaklah dia bertasbih dan beristighfar. Manakala, jika ayat yang berkaitan misalan atau perumpamaan, maka hendaklah dia mentadabburnya. (Rujuk Fatwa Syar’iyyah Mua’sarah: 161)
Rasulullah SAW juga jika sekiranya membaca ayat berkaitan tasbih, doa dan ta’awwuz (memohon perlindungan), maka Rasulullah SAW sendiri menyebutkan tasbih, berdoa dan juga bertaa’wwuz. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA, beliau menceritakan bahawa beliau mendirikan solat sunat bersama Nabi SAW pada suatu malam, dan beliau menyifatkan:
يَقْرَأْ مُتَرَسِّلًا – أَيْ مُتَأَنِّيًا - إِذَا مَضَي بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَ إِذَا مَرَّ بِآيَةِ سُؤَالِ سَأَلَ وَ إِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ
“Sesungguhnya Nabi SAW membaca al-Quran secara perlahan-lahan memperhatikan maknanya. Jika sekiranya Baginda SAW membaca ayat al-Quran yang berkaitan tasbih, maka Baginda SAW pun bertasbih. Jika sekiranya Baginda SAW membaca ayat al-Quran yang memohon sesuatu, maka Baginda SAW pun berdoa memohon doa tersebut. Dan jika sekiranya Baginda SAW membaca satu ayat al-Quran yang memohon perlindungan daripada Allah SWT, maka Baginda SAW pun meminta perlindungan daripada Allah SWT.” [Riwayat Muslim: (772)]
Begitu juga, dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Auf Ibn Malik RA, bahawa beliau berkata:
قُمْتُ مَعَ النَبِيِّ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّام لَيْلَةً فَقَامَ فَقَرَأَ سُورَةَ البَقَرَةِ وَ لَا يَمُرُّ بِآيَةِ رَحْمَةِ إِلَّا وَقَفَ وَ سَأَلَ وَ لَا يَمُرُّ بِآيَةِ عَذَابِ إِلَّا وَقَفَ وَ تَعَوَّذَ
“Aku telah mendirikan solat bersama dengan Nabi SAW pada suatu malam. Rasulullah SAW telah mendirikan solat dengan membaca surah al-Baqarah, dan Baginda SAW tidak membaca satu ayat yang berkaitan rahmat Allah SWT kecuali Baginda SAW berhenti dan berdoa. Begitu juga, Baginda SAW tidak membaca satu ayat yang berkaitan azab kecuali Baginda SAW berhenti dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.” [Riwayat Abu Daud: (1/381) dan al-Nasaie: (2/223)]
Di dalam kitab 'Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud menjelaskan bahawa ketika Rasulullah SAW mendirikan sembahyang bersama para sahabat, Baginda SAW berhenti dan berdoa memohon kerahmatan kepada Allah SWT apabila membaca ayat rahmat dan berta’awuz ketika membaca ayat berkaitan azab dan buruknya pembalasan kejahatan di akhirat, samada menyebutnya dengan lisan atau di dalam hati. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 2:106)
Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa:
• Jika sekiranya seseorang itu membaca ayat berkaitan azab dan keburukan, maka hendaklah dia berdoa kepada Allah SWT dengan doa: (اللهم إني أسألك العافية).
• Jika seseorang itu membaca ayat berkaitan menyucikan dan mengagungkan Allah SWT, maka hendaklah dia berdoa: (سبحانه وتعالى) atau (تبارك الله رب العالمين) atau (جلت عظمة ربنا) dan lain-lain.”
(Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran Li al-Nawawi: 78)
Selain itu, dalam beberapa ayat yang khusus Rasulullah SAW ada menyebutkan lafaz yang khusus juga apabila membacakan ayat tersebut dan menggalakkan untuk umatnya juga menyebutkannya seperti dalam surah al-Tin ayat 8, surah al-Qiyamah ayat 40 dan surah al-Mursalaat ayat 50.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ مِنكُم بـِ وَالتِّينِ وَالزَيْتُون ، فَانْتَهَى إِلَى : أَلَيْسَ اللهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ فَلْيَقُلْ : بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ ، وَمَنْ قَرَأَ : ( لَا أُقْسِمُ بِيَومِ القِيَامَةِ فَانتَهَى إِلَى : أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَن يُحْيِيَ المَوْتَى ، فَلْيَقُلْ : بَلَى ، وَمَن قَرَأَ ( وَالمُرْسَلَات ) ، فَبَلَغَ : فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ فَلْيَقُل : " آمَنَّا بِاللهِ "
“Barangsiapa yang membaca surah al-Tin sehinggalah kepada ayat, (أَلَيْسَ اللهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ), maka hendaklah dia menyebut, (بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ). Barangsiapa yang membaca surah al-Qiyamah sehinggalah kepada ayat (أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَن يُحْيِيَ المَوْتَ), maka hendaklah dia menyebut (بَلَى). Barangsiapa yang membaca surah al-Mursalat sehinggalah sampai kepada ayat (فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُون), maka hendaklah dia menyebut (آمَنَّا بِاللهِ).” [Riwayat Abu Daud: (887)]
Manakala hukum mengucapkan doa, istia’zah dan tasbih di dalam ataupun di luar solat adalah sunat mengikut pandangan jumhur ulama’, sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran:
وَ يُسْتَحَبُّ هَذّا السُؤَال وَ الإِسْتِعَاذَةُ وَ التَسْبِيحِ لِكُلِّ قَارِئٍ سَوَاءٌ كَانَ فِي الصَّلَاةِ أَوْ خَارِجًا مِنْهَا. قَالُوا: وَ يُسْتَحَبُّ ذَلِكَ فِي صَلَاة الإِمَامِ وَ المُنْفَرِد وَ المَاْمُوم لِأَنَّهُ دُعَاءٌ فَاسْتَوَوا فِيهِ كَالتَاْمِينَ عَقِبَ الفَتِحَةِ.
“Disunatkan doa, isti’azah dan juga tasbih ini bagi setiap pembacanya tidak kira di dalam solat ataupun di luar solat. Ada golongan berpendapat dengan mengatakan bahawa sunat hukumnya doa tersebut di dalam solat sebagai imam atau solat secara bersendirian atau juga solat sebagai makmum, kerana doa tersebut merupakan doa, maka disamakannya seperti ucapan “aminn” selepas daripada membaca surah al-Fatihah.” (Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran: 78)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa terdapat doa-doa khusus yang disebut apabila membaca beberapa ayat tertentu seperti yang berkaitan rahmat, azab, menyucikan dan mengagungkan Allah SWT, membenarkan pernyataan di dalam ayat al-Quran dan lain-lain.
Kami senaraikannya doa-doa tersebut bagi ayat-ayat al-Quran yang tertentu seperti berikut, antaranya:
• Ayat-ayat berkaitan rahmat, doanya ialah meminta seperti apa yang disebutkan di dalam ayat tersebut.
• Ayat-ayat berkaitan azab, doanya ialah (اللهم إني أسألك العافية).
• Ayat-ayat yang berkaitan menyucikan dan mengagungkan Allah SWT, doanya ialah: (سبحانه وتعالى) atau (تبارك الله رب العالمين) atau (جلت عظمة ربنا)
• Ayat terakhir, ayat 8 surah al-Tin, hendaklah menyebut (بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ)
• Ayat terakhir, ayat 40 surah al-Qiyamah, hendaklah menyebut (بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ)
• Ayat terakhir, ayat 50 surah al-Mursalaat, hendaklah menyebut (آمَنَّا بِاللهِ)
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang betul terhadap agama Islam dan memberi taufiq untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Apa Komen Korang?