Tidak Ambil Imunisasi Punca Berlakunya Kecacatan Kekal dan Kematian Dalam Kalangan Kanak-Kanak? - OHGEEKZ

OM Leaderboard Ad

Tidak Ambil Imunisasi Punca Berlakunya Kecacatan Kekal dan Kematian Dalam Kalangan Kanak-Kanak?


Pastinya kita ingat lagi tentang kenangan menerima imunisasi terhadap penyakit Tibi atau Batuk Kering semasa Darjah 6 dahulu yang meninggalkan kesan parut di bahu kiri dan kanan iaitu imunisasi BCG.  Dahulu semua itu menjadi kemestian kerana kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan anak-anak mereka untuk diberi imunisasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Hari ini, ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli hal ini.  Sibuk dengan urusan harian menyebabkan ada yang terlupa dan tidak ambil berat samada anak-anak mereka telah menerima imunisasi yang sepatutnya atau tidak walaupun sedar bahawa anak-anak mereka sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman penyakit setiap hari.



Sikap acuh tidak acuh ini menjadi pemangkin kepada kemunculan dan peningkatan semula kes penyakit seperti Tibi, Difteria, Measles dan lain-lain.  Penyakit berjangkit ini pula boleh membawa kepada kecacatan kekal dan mungkin kematian dalam kalangan kanak-kanak.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan program imunisasi bagi mencegah 6 penyakit utama iaitu;

1. Tuberculosis (Tibi)


Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria yang menjangkiti saluran pernafasan. Penyakit ini tersebar melalui titisan (melalui udara) semasa batuk atau bersin oleh orang yang dijangkiti penyakit tibi. Justeru itu, jangkitan ini boleh menjangkiti ahli-ahli keluarga lain yang tinggal serumah. Biasanya berlaku di kalangan penduduk miskin dan mereka yang tinggal di kawasan sesak. Kebelakangan ini penyakit tibi telah meningkat disebabkan kemasukan pendatang asing dan juga meningkatnya kejadian jangkitan HIV. Komplikasi penyakit ini termasuk jangkitan kelenjar limfa (lymph node), radang selaput otak, radang paru- paru dan serangan tibi pada organ-organ lain seperti usus, tulang dan sendi, paru- paru dan buah pinggang.



2. Difteria 


Difteria adalah radang pada selaput hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh toksin (racun) yang dihasilkan oleh bakteria Difteria. Kesannya adalah bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan mungkin menyebabkan kematian. Penyakit difteria boleh dirawat dengan antibiotik. Adalah penting untuk diberikan antitoksin dengan segera bagi mengelakkan kerosakan berkekalan pada jantung dan sistem saraf atau kematian. Hanya dengan pemberian imunisasi sahaja dapat melindungi anak anda daripada penyakit difteria.



3. Pertussis (Batuk Kokol)



Foto: Wiki Illness Symptom
Batuk kokol adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria pertussis yang menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Akibatnya adalah batuk yang teruk dan kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga 3 bulan walaupun mendapat rawatan yang sempurna. Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku di kalangan bayi berumur di bawah 6 bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis).


4. Tetanus (Kancing Gigi)



Spora tetanus didapati di dalam tanah. Penyakit tetanus boleh berlaku apabila terdapat luka yang tercemar dengan spora tetanus. Tetanus juga tersebar melalui penggunaan gunting dan peralatan lain yang tercemar dengan spora tetanus. Hanya imunisasi boleh mencegah penyakit ini.



5. Polio (Poliomyelitis)



Foto: Upworthy
Polio disebabkan oleh virus Polio yang menyerang sistem saraf. Penyakit ini menular melalui tangan, makanan dan air yang tercemar dengan najis dari orang yang dijangkiti penyakit polio. Jangkitan polio biasanya menyerang sistem saraf ke otot dan ini boleh menyebabkan lumpuh. Kadangkala polio menyerang otot 4 pernafasan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan ini boleh membawa kematian.



6. Measles (Demam Campak)



Measles adalah penyakit yang disebabkan oleh virus Measles. Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Pada amnya orang ramai melihat penyakit ini sebagai penyakit yang tidak serius tetapi pada hakikatnya penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang teruk seperti radang paru-paru, jangkitan otak (encephalitis), sawan, jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak, jangkitan pada mata dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan buta serta kematian. Kematian kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

* Sumber: Fakta Imunisasi Kanak-Kanak Bagi Kakitangan Kesihatan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM.
Kenangan untuk terima suntikan di sekolah. Kini tiada lagi imunisasi wajib di sekolah rendah atau menengah.
Ingat dan percayalah yang imunisasi  adalah cara paling efektif untuk mencegah dan mengurangkan kejadian penyakit cegahan vaksin di negara ini. Semua kanak-kanak berhak mendapatkan imunisasi yang lengkap.  #JanganLupaCucuk dan pastikan anak anda #SempurkanImunisasi.
Dikuasakan oleh Blogger.